Thursday 24 November 2016

Pelajar Cemerlang UPSR 2015 dan 2016



Tahun lepas, SKPPII telah berjaya melahirkan seorang murid tunggal yang berjaya mencapai semua A dalam matapelajaran UPSR. Tahniah diucapkan kepada adik Nurul Insyirah Binti Jimal kerana berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dalam UPSR tahun 2015.

            Pada tahun ini iaitu tahun 2016, keputusan UPSR adalah sesuatu yang sangat mendebarkan para guru terutama sekali guru-guru yang terlibat dalam pengajaran matapelajaran teras murid Tahun 6. Format soalan yang baharu umpama memberikan igauan buruk kepada guru. 

            Tanggal 17. November. 2016 bersamaan pada hari khamis, sekolah kita hampir melakarkan sejarah yang terbaharu untuk mencapai 6A dalam UPSR. Walau bagaimanapun mungkin bukan jodohnya pada tahun ini sekolah kita untuk meraikan keputusan cemerlang dalam format soalan yang terbaharu. 

Namun demikian, keputusan yang cukup membanggakan daripada adik Luqman Nul Hakim merupakan salah satu pencetus dan penyuntik semangat kepada tenaga pengajar dan murid-murid yang lain untuk mengejar impian yang tidak pernah padam. Tahniah diucapkan kepada adik Luqman kerana berjaya mendapat keputusan 4A, 2B dalam UPSR tahun 2016 ini.

Adik Luqman bergambar bersama Guru Besar SKPPII, Ibu tersayang, Ibu Saudara dan En. Ishak wakil daripada PPD.

Program Motivasi 1 Tahun 6 2016



Pada 31 Mac 2016 yang lalu,  Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas II telah menganjurkan satu program khas untuk murid-murid Tahun 6. Program ini dinamakan sebagai Program Motivasi Murid-murid Tahun 6.

            Program motivasi ini telah dihadiri oleh seramai 79 orang murid Tahun 6 SKPPII. 79 orang murid ini adalah daripada kelas 6 Kenanga, 6 Kemboja dan juga 6 Cempaka.

            Program motivasi ini pada dasarnya adalah bertujuan untuk memberikan suntikan motivasi kepada murid-murid Tahun 6 khususnya yang akan menduduki peperiksaan penting dalam Tahap Sekolah Rendah iaitu UPSR. Program motivasi ini adalah satu program yang sangat penting untuk memberikan keyakinan dan semangat kepada murid-murid Tahun 6. 

            Dua orang penceramah berpengalaman telah dijemput untuk memberikan ceramah kepada murid-murid Tahun 6 ini. Dua orang penceramah tersebut ialah Puan Junaida dan Encik Nazmi yang berasal daripada daerah Pitas ini sendiri. Sememangnya murid-murid ini sangat beruntung kerana mendapat peluang perkongsian ilmu daripada dua orang penceramah yang tidak kurang hebatnya ini. 

Puan Junaida

Encik Nazmi





MAJLIS GRADUASI ACARA JULUNG KALI DIADAKAN




Warga SKPPII pada tahun ini telah membuat sedikit kelainan dalam sambutan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2016. Pada pertama kalinya sekolah ini telah meraikan semua murid Tahun 6 dengan Tema Graduasi.

            Hasil cetusan idea bernas daripada Puan Namlly Supin selaku salah seorang tenaga pengajar kepada murid Tahun 6 ini telah diterima dan disokong oleh semua guru yang hadir dalam mesyuarat APC. Beliau menyatakan pelajar-pelajar Tahun 6 ini bakal meninggalkan sekolah untuk melanjutkan pelajaran ke Tahap Menengah. Oleh yang demikian, adalah tidak salah untuk pihak sekolah ini meraikan mereka dengan majlis Graduasi seolah-olah mereka ini berada di institusi yang lebih tinggi.

            Sepanjang majlis anugerah pelajar cemerlang ini berlangsung, keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar dari wajah murid-murid Tahun 6 ini apabila memakai seragam jubah graduasi. Majlis ini amat bermakna disamping ibu bapa yang turut hadir untuk menyaksikan anak-anak mereka ini naik ke atas pentas dengan memakai jubah dan menerima sijil daripada guru besar dan wakil PPD yang turut memakai jubah graduasi.